Source: Sinar Harian
Writer: Norafiza Jaafar
Published Date: 3 June 2022

KUALA LUMPUR – Pelbagai program berimpak tinggi telah dilaksana oleh UM Specialist Centre (UMSC) pada Minggu Jururawat UMSC 2022 sempena Hari Jururawat Sedunia 2022 pada Mei lalu.

Program melibatkan penyertaan 200 jururawat itu dimulakan dengan Hari Ikrar Jururawat diikuti ‘Professional Image and Business Etiquette Coaching’, pertandingan ‘Sharing of Ideas: A Voice To Lead’ dan diakhiri Raya Hi-Tea with Heroes.

Ketua Pegawai Eksekutif, Norzaiton Senusi, berkata, penganjuran program membabitkan penglibatan jururawat dapat memperkasakan profesion kerja berkenaan sekali gus memberikan impak positif kepada organisasi.

Menurutnya, jururawat merupakan satu bidang penting dalam perkhidmatan kesihatan dan UMSC mahu mengangkat martabat karier itu ke peringkat tertinggi melalui penyediaan perkhidmatan terbaik dan berkualiti.

“UMSC juga mahu melahirkan tenaga kerja yang tersedia untuk masa hadapan (future ready workforce).

“Kami percaya golongan jururawat juga seharusnya berupaya berfikir secara kreatif dan mampu berfikiran kritikal supaya pesakit di bawah jagaan mereka mendapat perkhidmatan terbaik,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, kemahiran dan pengetahuan jururawat harus dipertingkatkan selari dengan perkembangan teknologi semasa industri revolusi 4.0 bagi memenuhi keperluan peredaran masa.

“Peranan jururawat perlu diperkasakan di sebalik kecanggihan teknologi. Pihak hospital akan terus membantu para jururawat untuk terus mahir dalam bidang teknologi dan kejururawatan,” katanya.

Selain itu katanya, aspek keterampilan dan khidmat layanan kepada pesakit juga dititikberatkan dalam sambutan kali ini apabila warga kerja jabatan kejururawatan UMSC menjalani kursus penjagaan diri dan etika perniagaan.

Minggu Jururawat UMSC 2022 diakhiri acara Hi-Tea With Heroes sebagai memberi penghargaan khidmat jururawat menerusi pertandingan mencari personaliti menarik ‘Miss UMSC’, majlis penganugerahan ‘Most Promising Awards’, cabutan bertuah dan persembahan khas penyanyi, Aliff Aziz.