View Larger Image Serangan jantung tiada amaran, tak mengenal usia PENYAKIT jantung sejak sekian lama digelar sebagai ‘pembunuh senyap’ kerana ia sering menyerang tanpa amaran, malah turut menyebabkan kematian mengejut. Sebelum ini, penyakit jantung sering dikaitkan dengan golongan berusia, tetapi realitinya masa kini, ia tidak lagi mengenal usia. Di Malaysia, kes kematian mengejut akibat penyakit jantung dalam kala ngan golongan muda, kini semakin membimbangkan. Pakar Perunding Kardiologi, Prof Dr Imran Zainal Abidin dari UM Specialist Centre (UMSC) sebuah hospital bertaraf kuaternari, berkata 20 tahun dahulu serangan jantung lebih banyak berlaku kepada mereka berusia 50-an hingga 60-an. Namun katanya, kini ramai pesakit berusia 30-an dan awal 40-an, malah trend membimbangkan itu dilihat berlaku dalam kalangan wanita walaupun hormon estrogen biasanya memberikan perlindungan terhadap penyakit jantung koronari sebelum menopaus. Katanya, lebih membimbangkan kematian mengejut atau dikenali sudden cardiac death (SCD) kini sering berlaku kepada individu yang sihat serta aktif termasuk atlet. Foto NSTP “Walaupun SCD hanya sekitar satu peratus daripada semua kematian berkaitan jantung, ia menarik perhatian kerana berlaku pada usia produktif tanpa tanda awal yang jelas,” katanya kepada BH. Beliau berkata, golongan muda yang berusia 30-an hingga 40-an paling kerap dikesan menghidap penyakit jantung koronari iaitu akibat pembentukan plak kolesterol pada dinding arteri. Namun katanya, ketika ini mereka yang berusia 20-an hingga 30-an kerap dikesan penyakit jantung kardiomiopati iaitu penyakit otot jantung itu sendiri, atau hipertrofi iaitu peningkatan saiz sel otot jantung. “Selain itu, ada juga golongan muda terutama lelaki yang disahkan menghidap penyakit jantung akibat genetik seperti Brugada Sindrom yang mengganggu aktiviti elektrik jantung, berpotensi membawa kepada degupan jantung yang berbahaya dan tidak teratur. “Long QT Sindrom pula yang banyak berlaku kepada wanita di pangkal kanak-kanak dan remaja, adalah gangguan irama jantung yang menyebabkan degupan jantung yang cepat dan tidak terkawal,” katanya. Bagi golongan berusia pula, masalah jantung selalunya berlaku kerana organ itu sudah lemah akibat faktor usia. Berkenaan punca penyakit jantung itu, beliau berkata, ia termasuk kerana mengamalkan gaya hidup tidak sihat, merokok, tekanan, kurang tidur serta obesiti dan diabetes yang semakin kerap dikesan di kalangan golongan muda. Gejala awal penyakit Dr Imran berkata, gejala atau tandatanda awal penyakit jantung koronari juga berbeza antara golongan tua dan muda. Katanya, bagi golongan muda, sering kali tiada gejala yang jelas namun kadang kala hanya rasa penat, sesak nafas ketika bersenam atau sakit dada yang ringan. “Bagi warga emas pula, biasanya gejala yang ditunjukkan lebih ketara iaitu sakit dada teruk, berpeluh, pening atau pitam,” katanya. Oleh itu katanya, apabila seseorang itu sudah merasakan ada gejala atau berisiko tinggi iaitu ahli keluarga terdekat mempunyai penyakit jantung hingga ada kes mati mengejut, mereka perlu menjalani pemeriksaan segera. Katanya, ini kerana sejarah keluarga memainkan peranan penting dan jika ibu bapa atau adik beradik pernah mengalami penyakit jantung, risiko ahli keluarga lain meningkat. “Pemeriksaan yang penting adalah elektrokardiogram (ECG), ekokardiogram, ujian tekanan jantung dan calsium score. “Pemeriksaan ini dapat membantu pengesanan awal terutama jika ada penyakit jantung berkaitan genetik yang dapat diberikan rawatan awal,” katanya. Bagaimanapun, beliau berkata apabila seseorang itu disahkan mendapat penyakit jantung perkara utama perlu dilakukan adalah mengawal tekanan darah, kolesterol dan gula. Selain itu katanya, perlu mengambil ubat seperti yang diarahkan doktor dan penting juga untuk mengubah gaya hidup secara menyeluruh termasuk tidur yang cukup iaitu tujuh jam sehari. “Rawatan yang akan diberikan kepada pesakit adalah bergantung kepada tahap penyakit dan jika masih berada di tahap awal, hanya perlu mengambil ubat, mengubah gaya hidup dan mengawal punca penyakit. “Jika sudah berada pada tahap sederhana, pembedahan angioplasti perlu dilakukan bagi membuka atau melebarkan arteri koronari yang menyempit atau tersumbat. “Di tahap kritikal pula, pembedahan pintasan jantung perlu dilakukan atau dalam kes tertentu pemindahan jantung,” katanya. Beliau berkata, kemajuan teknologi kini membolehkan rawatan lebih tepat dan pemulihan lebih cepat namun pencegahan adalah langkah paling berkesan. Katanya, pencegahan dari awal boleh dilakukan dengan mengamalkan gaya hidup sihat terutama mengamalkan diet sihat iaitu lebihkan sayur, buah dan kurangkan gula serta garam Katanya, perlu juga bersenam sekurang-kurangnya 150 minit seminggu, berhenti merokok atau vape serta membuat pemeriksaan secara berkala. Waktu kritikal serangan jantung Beliau berkata, ramai yang menyangka bersukan pada waktu malam boleh menyebabkan serangan jantung dan itu tidak benar sama sekali. Katanya, waktu tidak menjadi sebarang masalah, yang berisiko adalah melakukan sebarang senaman tanpa memanaskan badan terutama bagi mereka yang jarang bersukan. “Bagaimanapun, waktu kritikal serangan jantung adalah antara jam 4 hingga 6 pagi kerana waktu itu adalah waktu rehat atau tidur dan salur darah mengecil kerana keperluan oksigen rendah. “Apabila tiba-tiba bangun dan melakukan aktiviti seperti berjalan laju ke masjid atau surau, aliran darah meningkat mendadak dan plak kolesterol pada salur darah yang sempit boleh pecah. “Plak yang pecah bercampur dengan darah membentuk bekuan (blood clot) yang menyumbat salur darah dan akhirnya menyebabkan serangan jantung. “Oleh itu, penting sebelum melakukan sebarang aktiviti supaya memanaskan badan terlebih dahulu,” katanya. Katanya, dalam kes segelintir individu yang meninggal dunia ketika bersenam atau bersukan, ia bukan kerana waktu, tetapi berkait dengan masalah jantung sedia ada. Justeru, Dr Imran menasihatkan supaya semua individu mengambil tahu sejarah keluarga terutama yang mempunyai masalah jantung dan berlaku kematian mengejut supaya menjalani pemeriksaan awal. Selain itu, peka kepada gejala dan dapatkan pandangan doktor untuk berbincang serta elak mempercayai pada media sosial. “Paling penting adalah berani membuat pemeriksaan kesihatan dan jika didiagnosis, tidak perlu bimbang kerana ada rawatan. “Ramai yang masih takut menjalani pemeriksaan kerana bimbang didiagnosis dan sebenarnya, ia lebih berisiko tinggi,” katanya. Sumber: Berita Harian Previous Next Share This Story, Choose Your Platform! FacebookXRedditLinkedInWhatsAppTelegramTumblrPinterestVkXingEmail