View Larger Image Jangan abai jika hidung anak kerap berdarah PENDARAHAN hidung atau epistaksis sering menjadi punca kebimbangan ibu bapa terutama mereka yang masih muda. Walaupun kebanyakan kes ringan dan mudah dirawat, pendarahan hidung berulang pada kanak-kanak boleh menjadi tanda masalah kesihatan yang lebih serius. Oleh itu kesedaran dan tindakan awal amat penting bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan anak. Pakar Pediatrik Otorinolaringologi (ENT) UM Specialist Centre (UMSC), sebuah hospital bertaraf kuarternari, Dr Jeyasakthy Saniasiaya, berkata pendarahan hidung pada kanak-kanak lazimnya berpunca daripada trauma kecil terutamanya akibat mengorek atau menggosok hidung. Ini kerana katanya, di bahagian hadapan hidung, yang dikenali sebagai ‘Little’s Area’ mempunyai salur darah halus yang mudah pecah apabila disentuh berulang kali. “Selain itu, punca lain hidung berdarah adalah kerana udara kering, cuaca panas dan kerana penghawa dingin yang boleh membuatkan dinding hidung mudah berdarah. “Kanak-kanak yang mempunyai alahan hidung juga lebih terdedah kerana mereka kerap merasa gatal dan menggosok hidung. “Malah, penggunaan ubat semburan hidung (nasal spray) secara tidak betul terutamanya semburan steroid, juga boleh mencederakan salur darah dan menyebabkan pendarahan jika muncung semburan salah dihala pada hidung,” katanya kepada BH. Bagaimanapun, beliau berkata, walaupun kebanyakan kes adalah ringan, pendarahan hidung yang kerap atau tidak berhenti boleh menjadi petanda gangguan pembekuan darah. Katanya, tanda-tanda masalah itu adalah mudah lebam walaupun tersentuh sedikit, pendarahan dari gusi atau kuku dan pendarahan yang lambat berhenti. “Jika sistem pembekuan darah tidak berfungsi, pendarahan boleh berlaku bukan sahaja di hidung, malah di organ dalaman seperti hati, paru-paru dan jantung. “Situasi ini memerlukan pemeriksaan lanjut oleh pakar hematologi pediatrik,” katanya. Dr Jeyasakthy berkata, pendarahan hidung yang berulang juga boleh menjadi tanda tumor jinak di pangkal hidung seperti Juvenile Nasopharyngeal Angiofibroma (JNA) namun kes itu sangat jarang berlaku. Susulan itu katanya, ibu bapa perlu mempunyai kemahiran kecemasan yang betul dalam mengendalikan anak yang mengalami pendarahan hidung kerana ramai ibu bapa tersilap langkah apabila berhadapan situasi berkenaan. Katanya, kaedah yang betul adalah dengan dudukkan anak dan tundukkan kepala sedikit ke hadapan. “Kemudian picit bahagian lembut hidung (bukan tulang atas) selama 10 minit tanpa henti. Ketika ini anak perlu bernafas melalui mulut. “Selain itu, boleh juga letakkan ais di dahi atau pangkal hidung untuk mengecutkan salur darah,’ katanya. Beliau berkata, ibu bapa perlu mengelakkan membaringkan anak atau dongakkan kepala mereka kerana darah boleh masuk ke tekak dan menyebabkan muntah atau sesak nafas. “Bagaimanapun, malangnya ini yang banyak dilakukan ibu bapa dalam situasi kecemasan dan mungkin juga kerana mereka cemas,” katanya. Dr Jeyasakthy berkata, jika pendarahan berlaku berulang kali di tempat yang sama atau salur darah kelihatan jelas membengkak, rawatan ‘Cauterisation’ mungkin diperlukan. ‘Cauterisation’ dilakukan menggunakan bahan kimia seperti ‘silver nitrate’ untuk menutup salur darah halus yang mudah pecah. “Ia cepat, selamat dan boleh dibuat di klinik atau bilik bedah bergantung kepada usia kanak-kanak,” katanya. Justeru katanya, untuk mengelak perkara sama tidak berulang, ibu bapa perlu mengambil langkah pencegahan. Katanya, antara kaedah yang boleh dilakukan adalah memastikan hidung anak lembap dengan menggunakan sedikit ‘Vaseline’ atau krim antibiotik pada dinding dalam hidung. Selain itu katanya, boleh juga menggunakan semburan air garam (saline spray) bagi membantu mengekalkan kelembapan hidung. “Ibu bapa juga perlu pastikan anak tidak mengorek hidung dan paling penting memotong kuku dan ajar mereka tidak memasukkan jari ke dalam hidung. “Cuba untuk mengawal pendedahan kepada udara kering dengan menggunakan pelembap udara (humidifier) jika berada lama dalam bilik berhawa dingin. “Gunakan semburan ubat dengan teknik betul iaitu menghalakan muncung ke sisi hidung, bukan ke tengah,” katanya. Dr Jeyasakthy turut menegaskan, kepentingan diet seimbang dan pengambilan air mencukupi. Katanya, air yang mencukupi amat membantu mengekalkan kelembapan hidung, manakala sayur-sayuran dan buah-buahan menyokong kesihatan salur darah secara keseluruhan. Beliau turut mengakui, terdapat beberapa mitos mengenai hidung berdarah yang masih ibu bapa percaya termasuk jika hidung berdarah menandakan kanser. Katanya, ia tidak benar sama sekali kerana majoriti kes berpunca daripada sebab mudah seperti trauma atau udara kering. “Bagaimanapun, jika pendarahan kerap dan tidak berhenti, pemeriksaan lanjut perlu dilakukan,” katanya. Berkenaan kesedaran ibu bapa di Malaysia mengenai isu itu, beliau mengakui ia masih rendah tidak kira sama ada di bandar atau luar bandar. Katanya, ramai menganggap pendarahan hidung adalah perkara kecil dan mengikut nasihat jiran atau pengalaman anak terdahulu, sedangkan setiap kanak-kanak berbeza. “Kesedaran dan tindakan awal sangat penting. Jangan ambil mudah walaupun nampak pendarahan ringan,” katanya. Mengenai sekerap mana pendarahan darah yang berlaku dan dianggap serius hingga perlu dibawa jumpa doktor, beliau berkata jika pendarahan berlaku lebih daripada dua kali seminggu. Selain itu katanya, jika pendarahan tidak berhenti selepas 10 hingga 15 minit jika usaha menghentikannya tidak berkesan; anak kelihatan lemah, pucat atau muntah darah atau terdapat lebam tanpa sebab jelas. “Jika berhadapan situasi berkenaan, bawa anak untuk pemeriksaan awal kerana ia boleh mengelakkan komplikasi serius dan membantu mengenal pasti masalah pembekuan darah lebih awal. “Hidung berdarah pada kanak-kanak kebiasaannya tidak membahayakan, tetapi boleh menjadi serius jika berlaku berulang kali atau tidak berhenti. “Jadi dengan pengetahuan, langkah pertolongan cemas yang betul, rawatan pencegahan dan kesedaran ibu bapa, kebanyakan kes boleh dikawal dengan mudah,” katanya. INFO: Hidung anak berdarah, bagaimanakah anda boleh membantu? 1. Jangan panik. Cuba sedaya upaya menghentikan perdarahan itu dengan memicit hidung di bahagian bawah yang lembut untuk menutup lubang hidung. Gunakan jari anda dahulu. Jika tidak dapat mencari sapu tangan atau kertas tisu, kekalkan tekanan itu paling minimum selama 5 minit. 2. Tundukkan kepala anak ke bawah. Ini untuk menghindari darah dari mengalir ke dalam mulut dan jangan mendongak ke atas. 3. Sediakan bekas kecil untuk menadah darah yang mengalir bagi menghalang darah dari mengotori pakaian dan juga memudahkan menyukat anggaran jumlah darah yang keluar. 4. Letak pek ais kecil di kepala dan juga di dalam mulut untuk menambah kesan pengecutan salur darah. 5. Jika semua langkah ini gagal menghentikan perdarahan hidung, segera bawa anak berjumpa doktor. Sumber: Berita Harian Previous Next Share This Story, Choose Your Platform! FacebookXRedditLinkedInWhatsAppTelegramTumblrPinterestVkXingEmail