WALAUPUN jangkitan saluran kencing atau Urinary Tract Infection (UTI) adalah antara masalah kesihatan yang paling kerap dialami wanita, tahap kesedaran mengenainya masih rendah.

Ramai wanita menganggap simptom seperti pedih ketika membuang air kecil atau kerap ke tandas sebagai masalah biasa lalu memilih untuk menahan atau merawat sendiri tanpa pemeriksaan lanjut.

Hakikatnya, UTI yang tidak dirawat dengan betul boleh membawa komplikasi serius, khususnya kepada wanita hamil dan wanita selepas menopaus.

Pakar Perunding Uroginekologi, Obstetrik dan Ginekologi UM Specialist Centre (UMSC), hospital kuatenari primer Malaysia, Dr Maherah Kamarudin, berkata wanita secara semula jadi lebih berisiko mendapat UTI disebabkan faktor anatomi.

Katanya, saluran kencing wanita (urethra) lebih pendek dan kedudukannya sangat hampir dengan faraj serta dubur dan menyebabkan bakteria seperti E.coli (Escherichia coli) mudah berhijrah ke saluran kencing.

Dr Maherah Kamarudin

“Bakteria dari dubur dan faraj memang senang untuk berpindah ke tempat kencing, sebab itu wanita lebih kerap mendapat UTI berbanding lelaki,” katanya kepada BH.

Selain faktor anatomi katanya, hormon wanita turut memainkan peranan penting dan ketidakseimbangan pH faraj boleh menyebabkan bakteria baik (Normal Flora) berkurangan dan membolehkan bakteria jahat membiak, sekali gus meningkatkan risiko jangkitan kuman pada saluran kencing.

Katanya, tabiat harian turut memberi kesan besar terhadap risiko UTI antaranya termasuk menahan kencing, pengambilan air yang tidak mencukupi iaitu kurang dari 1.5 liter, serta cara membersihkan alat sulit yang salah.

“Membersihkan dari belakang ke depan selepas membuang air besar atau kecil boleh memindahkan bakteria ke saluran kencing. Cara cuci yang betul ialah dengan mengesat dari depan ke belakang,” katanya.

Beliau berkata, tempoh haid juga memerlukan perhatian khusus dengan tuala wanita yang tidak ditukar dengan kerap boleh meningkatkan risiko jangkitan.

Selain itu katanya, masalah sembelit turut menyumbang kepada pengumpulan bakteria di kawasan dubur.

“Dalam kalangan wanita hamil, UTI sering berlaku tanpa disedari kerana ada yang tidak menunjukkan simptom (asymptomatic bacteriuria).

“Namun keadaan ini berbahaya kerana jangkitan boleh menjadi lebih serius disebabkan sistem imun yang sedikit rendah ketika kehamilan.

“Malah UTI ketika mengandung boleh menyebabkan jangkitan buah pinggang, sepsis dan meningkatkan risiko kelahiran pramatang jika tidak mendapatkan rawatan awal,” katanya.

Oleh itu katanya, pemeriksaan air kencing secara rutin semasa rawatan antenatal amat penting untuk mengesan jangkitan lebih awal.

Bagi wanita, selepas menopaus pula katanya, kekurangan hormon estrogen menyebabkan mukosa faraj menjadi nipis dan kering, pH faraj meningkat, dan bakteria jahat mudah membiak.

Keadaan itu katanya, menjadikan wanita menopaus lebih terdedah kepada UTI berulang.

Selain itu Dr Maherah berkata, masalah ‘pelvic organ prolapse’ atau yang sering disebut sebagai peranakan jatuh juga boleh menyumbang kepada UTI.

Katanya, apabila pundi kencing turun, air kencing tidak dapat dikeluarkan sepenuhnya lalu menjadi tempat pembiakan bakteria.

“Ramai wanita malu dan hanya menolak semula ketulan itu sendiri tanpa rawatan, sedangkan ia boleh membawa komplikasi serius termasuk pembengkakan dan seterusnya kerosakan buah pinggang,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata tidak semua bakteria dalam air kencing perlu dirawat, khususnya dalam kalangan wanita selepas menopaus yang tidak bergejala.

“Namun, jika terdapat simptom seperti pedih, sakit atau kerap kencing, rawatan antibiotik diperlukan.

“Dalam kes UTI berulang pula, pendekatan prophylaxis atau antibiotik dos rendah jangka panjang mungkin digunakan selepas punca dikenal pasti,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Urologi UMSC, Prof Dr Ong Teng Aik, berkata UTI tidak seharusnya dipandang ringan oleh wanita.

Katanya, wanita tidak sepatutnya mengendahkan tanda awal UTI seperti kerap membuang air kecil, rasa pedih ketika kencing, sakit di bahagian ari-ari, dan dalam kes lebih serius, kencing berdarah.

“Jika tidak dirawat, jangkitan boleh naik ke buah pinggang dan menyebabkan pyelonephritis. Lebih teruk, ia boleh masuk ke dalam darah dan menyebabkan sepsis yang mengancam nyawa,” katanya.

Prof. Dr. Ong Teng Aik

Oleh itu katanya, wanita yang mendapati terdapat simptom, perlu menjalani pemeriksaan awal UTI kerana pemeriksaan sangat mudah.

“Pemeriksaan kebiasaannya dilakukan melalui ujian air kencing menggunakan jalur dipstick di mana-mana klinik atau pusat perubatan.

“Namun, bagi kes yang kerap berulang, ujian kultur air kencing diperlukan untuk mengenal pasti jenis bakteria dan antibiotik yang paling sesuai,” katanya.

Berkenaan jenis rawatan, lazimnya katanya, menggunakan antibiotik selama tiga hingga lima hari bergantung kepada jenis ubat.

Malah katanya, ketika ini terdapat juga antibiotik tertentu yang hanya perlu diambil sekali sahaja bagi kes yang tidak rumit.

Justeru katanya, pesakit tidak seharusnya menangguhkan rawatan dan jika sudah ada simptom, jumpa doktor awal kerana rawatan awal lebih mudah dan kurang komplikasi.

Akuinya, isu penyalahgunaan dadah, khususnya ketamin yang semakin membimbangkan, boleh menyebabkan kerosakan teruk pada pundi kencing sehingga ia mengecut.

Selain itu katanya, pengambilan dadah jenis itu juga boleh menyebabkan pundi kencing menjadi keras dan menyakitkan, serta boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang.

“Kes ini memang ada dan penting untuk kesedaran awam,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Teng Aik berkata, UTI masih boleh dicegah dan antara langkah pencegahan adalah minum air secukupnya, memantau warna air kencing sebagai indikator hidrasi.

“Penting juga untuk mengamalkan tabiat membuang air kecil selepas hubungan seksual untuk mengurangkan risiko jangkitan,” katanya.

Selain itu katanya, perlu juga untuk berusaha mengurangkan pengambilan kafein serta alkohol, merokok dan mengelakkan penyalahgunaan dadah kerana semuanya memberi kesan buruk kepada kesihatan pundi kencing.

INFO:

Antara fakta mengenai Urinary Tract Infection (UTI);

– Antara punca utama UTI sering menjadi serius ialah tahap kesedaran yang masih rendah.

– Ramai wanita malu, takut atau tidak menyedari simptom yang dialami memerlukan rawatan perubatan.

– Wanita dinasihatkan jangan takut berjumpa doktor kerana masalah UTI masih boleh dirawat dengan mudah jika dikesan awal.

UTI bukan isu remeh, dengan pengetahuan yang betul dan tindakan awal, komplikasi serius dapat dielakkan.

– Menangani masalah UTI dapat meningkatkan kualiti hidup wanita.

Sumber: Berita Harian