Tidak ramai mengambil peduli mengenai glaukoma. Mungkin kerana jarang disebut atau kurang popular dalam kalangan orang muda dan jika ada pun, sekadar mengetahui ia membabitkan masalah penglihatan.

Namun, anda harus tahu glaukoma memberi kesan langsung dalam kehidupan dan ia juga dikatakan sebagai ‘pencuri senyap penglihatan’ yang boleh menyebabkan kebutaan.

Kajian di peringkat global menganggarkan lebih 70 juta individu menghadapi glaukoma pada tahun 2020 dan sebanyak 13 peratus daripada mereka mengalami kebutaan akibat glaukoma yang tidak dirawat.

Tinjauan Mata Kebangsaan Malaysia II pada tahun 2024 pula mendapati, kadar kebutaan dalam kalangan warga berusia 50 tahun dan ke atas adalah sebanyak 1.2 peratus dan 6.6 peratus daripada jumlah itu disebabkan glaukoma.

Pakar Perunding Oftalmologi Pusat Pakar UM Specialist Centre (UMSC), Prof Datin Dr Norlina Mohd Ramli, berkata glaukoma adalah penyakit saraf optik kronik berikutan terdapat kerosakan berterusan yang secara lazimnya akibat tekanan mata terlalu tinggi. Namun, ada juga sejenis glaukoma dengan tekanan mata pada tahap normal.

Katanya, setiap bebola mata mempunyai tekanan (sama seperti setiap orang mempunyai tekanan darah) dengan cecair yang berfungsi sebagai nutrien dihasilkan di belakang iris anak mata.

“Bagi sesetengah mata, sistem pengaliran cecair yang tidak sempurna menyebabkan aliran keluar cecair terganggu sekali gus meningkatkan tekanan mata dan akhirnya menjejaskan saraf mata yang berfungsi sebagai komunikasi antara mata dan bahagianotak untuk penglihatan.

Biasanya tekanan mata seseorang di antara 10 hingga 20, tetapi sekiranya sudah mencecah lebih daripada 20, ia secara perlahan-lahan akan merosakkan saraf mata tanpa gejala awal dapat dikesan atau dikenali sebagai glaukoma sudut terbuka.

“Tetapi bagi individu yang didiagnosis dengan glaukoma akut sudut tertutup iaitu tekanan naik mendadak, antara gejalanya ialah mata merah, rasa nak muntah, sakit dada dan perut serta bermacam lagi,” katanya.

Golongan berisiko

Menurut Dr Norlina, kumpulan yang berisiko terdedah kepada penyakit glaukoma sudut terbuka ini ialah individu berusia 45 tahun ke atas, mempunyai tahap preskripsi cermin mata yang tinggi dan faktor keturunan.

“Bangsa juga antara faktor yang berisiko mendapat masalah glaukoma antaranya orang Afrika manakala di Malaysia adalah bangsa Cina. Ini kerana sebelum ini saya pernah bekerja di Singapura dan kebanyakan daripada pesakit glaukoma di sana adalah jenis sudut tertutup.

“Justeru, individu yang berada dalam kumpulan berisiko disarankan untuk melakukan saringan mata dua atau tiga tahun sekali (berusia 40 tahun ke atas) dan setahun sekali (50 tahun ke atas).

“Tetapi janganlah pergi ke kedai cermin mata untuk periksa kerana mereka tidak mempunyai mesin khusus, sebaliknya dapatkan pemeriksaan doktor mata yang boleh mengira tekanan dan ada kamera khusus,” katanya.

Baru-baru ini, Dr Norlina juga menyertai program tanggungjawab sosial iaitu melakukan ujian saringan di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi dengan sasaran kumpulan berusia 50 tahun sempena Minggu Glaukoma Sedunia.

Selepas saringan dilakukan terhadap seramai 180 orang, didapati 17 daripadanya disyaki mempunyai glaukoma. Dr Norlina berkata, apa yang menakutkan, kebanyakan pesakit tidak perasan kehilangan penglihatan sehingga menjadi kritikal malah ada yang percaya sekiranya ia dirawat, boleh dipulihkan seperti katarak.

Bagaimanapun, katanya, kerana ia menyerang saraf mata, penglihatan itu tidak boleh dipulihkan kembali, tetapi hanya boleh menjalani rawatan susulan bagi mengelakkan ia semakin teruk.

“Pesakit itu tidak perasan kehilangan penglihatan kerana kerosakan itu bermula dari medan penglihatan tepi yang mungkin memakan masa antara 10 hingga 20 tahun (yang mungkin juga gagal mengesan kebutaan) yang akhirnya medan penglihatan akan menjadi semakin sempit.

“Situasi yang mungkin pesakit ini boleh perasan ialah ketika memandu iaitu apabila kenderaan lain menghampiri depan medan penglihatan, barulah dia nampak.

“Disebabkan itu, kesedaran penyakit glaukoma amat penting dalam kalangan mereka yang berisiko kerana jika sudah rosak, tidak boleh pulih kembali. Rawatan hanya bagi mengelakkan medan mata itu semakin menyempit,” katanya.

Jenis rawatan

Beliau berkata, terdapat beberapa bentuk rawatan untuk penyakit glau­ koma, antaranya ubat titis mata mengikut kelas dan sekiranya sudah kronik, pembedahan atau rawatan laser.

“Namun ada penyelidikan terkini dinamakan LIGHT study yang dikatakan, jika buat rawatan laser (selective laser trabeculoplasty), ia berpotensi menyasarkan bahagian tertentu dan seterusnya menurunkan tekanan mata dengan lebih berkesan.

“Lagi satu, jika pembedahan dilakukan, katarak juga akan dirawat bersama kerana ia boleh juga menyumbang kepada faktor glaukoma.

“Semua rawatan adalah untukbmenurunkan tekanan mata, kekalkan keadaan mata yang rosak daripada semakin teruk dan rawatan berkenaan ada ditawarkan di negara ini,” katanya sambil menjelaskan rawatan susulan dilakukan adalah seumur hidup.

Dr Norlina berkata, glaukoma bukan sahaja memberi kesan kepada aktiviti harian, tetapi juga boleh menyebabkan pesakit mengalami kemurungan, kebimbangan melampau (anxiety).

“Impak yang tinggi kepada kehidupan pesakit apabila dia perlu bergantung kepada ahli keluarga, penjaga atau bantuan pihak lain dalam urusan harian.

“Bukan setakat itu saja, seperti penyakit kronik yang lain, glaukoma juga memberi kesan dan beban kepada ekonomi negara dari segi kos rawatan dan pembedahan yang semakin meningkat.

“Ekonomi negara juga akan terkesan kerana sumber tenaga kerja kehilangan penglihatan yang boleh menjejaskan produktiviti negara,” katanya.

Justeru, beliau menggesa majikan mewujudkan inisiatif melakukan saringan mata pekerjanya kerana di negara ini, masih ramai pekerja berusia 40 hingga 60 tahun yang aktif bekerja.

Sumber: Berita Harian