News & Events

 

Gangguan emosi si sopak

SOPAK berpunca daripada kemusnahan sel melanosit iaitu sel pigmentasi atau warna pada kulit sehingga menyebabkan tompok putih. foto hiasan

Gangguan emosi si sopak

Keadaan itu menyebabkan mereka juga berdepan dengan gangguan emosi dan sebilangannya kemurungan.

Apa tidaknya, rasa diri diperhatikan hanya kerana keadaan kulit kelihatan sedemikian.

Namun berbeza bagi model terkenal Amerika, Winnie Harlow pula masalah sopaknya menyebabkan beliau popular dalam bidang peragaan, malah menjadi wakil dan aktif dalam pelbagai program bagi meningkat kesedaran umum mengenai penyakit berkenaan.

Justeru, janganlah bersedih. Sopak boleh dirawat menerusi beberapa kaedah rawatan mengikut peringkat tertentu, namun penyakit yang dikenali sebagai vitiligo diakui agak sukar untuk pulih sepenuhnya.

MODEL terkenal Amerika, Winnie Harlow menjadi wakil dan aktif secara aktif dalam pelbagai program bagi meningkat kesedaran umum mengenai sopak.- foto hiasan

Bagi mereka derita sopak, boleh rujuk kaedah yang dinyatakan di bawah (info) sebagai panduan mereka menangani masalah ini.

Apa sebenarnya sopak ini ? Ia berpunca daripada kemusnahan sel melanosit iaitu sel pigmentasi atau warna pada kulit sehingga menyebabkan tompok putih.

Sopak tidak dapat dielakkan tetapi membimbangkan kerana penghidapnya tidak mengalami tanda awal.

Kajian sekumpulan penyelidik The Vitiligo Society, United Kingdom (UK), mendapati 20 peratus pesakit mengalami masalah kemurungan disebabkan masalah sopak.

Mengikut penyelidikan itu, tompok putih pada bahagian wajah membuatkan individu tidak selesa dan keadaan itu membuatkan pesakit mengalami gangguan emosi.

Sesetengah pesakit mengalami perasaan rendah diri, malu dan kemurungan, sekali gus menjejaskan kualiti hidup terutamanya individu berkulit gelap kerana perbezaan warna lebih ketara.

“Kajian di India mendapati seorang daripada empat pesakit sopak mempunyai morbiditi psikiatri. Tahap kemurungan serius, berdepan kebimbangan dan mengalami gangguan ketika hendak menyesuaikan diri.

“Lebih teruk pesakit pernah berfikir membunuh diri kerana terlalu tertekan masalah kulit dihadapi,” katanya.

MASALAH sopak pada tubuh membuatkan individu berdepan gangguan emosi.

Pakar kulit UM Specialist Centre (UMSC) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Kwan Zhenli, pula berkata sopak disebabkan pigmentasi kulit menyebabkan tompok putih kelihatan pada permukaan kulit.

Hanya 0.5 hingga dua peratus penduduk dunia menghidap sopak tanpa mengira usia.

“Dianggarkan separuh daripada penghidap sopak dalam kalangan individu berusia bawah 20 tahun. Berdasarkan perangkaan sama juga, 20 peratus mempunyai sejarah keluarga positif sopak.

“Seperti ekzema, penyakit sopak hadir berdasarkan genetik. Selain itu, juga dikaitkan penyakit autoimun seperti masalah tiroid, alopecia areata, kencing manis (diabetes mellitus), pernicious anemia dan Addison,” katanya.

Dr Kwan berkata, terdapat beberapa jenis sopak iaitu umum (termasuk jenis vulgaris, acrofacial dan campuran). Sopak setempat iaitu (bersegmen, fokal dan mukosal) serta universal.

Diagnosa penyakit dilakukan secara klinikal menerusi ujian biopsi kulit membantu untuk mengenal pasti jenisnya.

Sopak umum atau vitiligo vulgaris paling kerap berlaku, manakala sopak ‘segmental vitiligo’ membabitkan corak tertentu pada satu belah saja dan tompok putih biasanya kekal tanpa perubahan dalam tempoh bertahun.

Beliau berkata, terdapat pesakit yang mengalami pelunturan warna (chemical leukoderma) akibat penggunaan bahan kimia tertentu, namun itu bukan sopak.

Kesan kontras antara warna kulit biasa dengan tompok putih ketara selepas terdedah cahaya matahari kerana kulit biasa menjadi lebih gelap manakala sopak kekal putih.

Lantas, penghidap dinasihat menggunakan krim pelindung matahari bagi mengelak pendedahan cahaya terutamanya pagi dan petang.

“Kanser kulit (squamous cell carcinoma) dan solar keratoses mungkin berlaku berikutan tiada melanosit sebagai perlindungan pada tompok sopak itu.

“Ada pesakit mengadu mengalami kegatalan dan sakit pada bahagian berkenaan tetapi ada tidak mengalami sebarang rasa. Selain kesan sopak timbul di tempat yang pernah mengalami luka atau pernah digaru,” katanya.

Fakta:

* Model dari Kanada, Winnie Harlow (Chantelle Brown-Young) mengalami vilitigo

* Aktif meningkat program kesedaran mengenai sopak.

Kaedah rawatan:

* Tidak sembuh 100 peratus

* Rawatan pigmentasi boleh menstabilkan sopak.

* Rawatan lebih berkesan pada leher dan pertengahan anggota berbanding jari, kaki dan mukosa.

Pilihan rawatan

* Topikal

* Fototerapi sistemik

* Pembedahan

* Jika sopak stabil lebih enam bulan dan sopak tidak timbul di tempat luka, kaedah pembedahan boleh dilakukan.

* Kaedah pembedahan termasuk ‘graft’ kulit (“blister roof”, “split-thickness” atau “punch skin graft”)

* Pemindahan sel melanosit daripada kulit normal.

 

INFO:

=====

Jenis vitiligo

Umum

– Vulgaris

– Acrofacial

– Campuran

Setempat

– Bersegmen

– Fokal

– Mukosal

Universal

Rawatan fototerapi

* Lebih berkesan dari PUVA oral atau topikal

– Pemulihan warna dan kurang kesan sampingan.

– Rawatan antara dua hingga tiga kali seminggu.

– Rawatan selamat untuk wanita hamil dan kanak-kanak.

Topikal PUVA (psoralen + UVA)

– 8 methoxypsoralen (MOP) (MOP) 0.1 peratus disapu pada kulit

– Pesakit terdedah kepada UVA selepas 30 minit.

– Rawatan diberikan dua hingga tiga kali seminggu.

– Rawatan ditangguhkan sementara jika berlaku tindak balas negatif seperti kemerahan yang keterlaluan, kulit melepuh, bengkak dan kegatalan melampau.

PUVA (psoralen + UVA) oral

– Digunakan jika rawatan PUVA topikal tidak berkesan.

– Tidak sesuai untuk wanita hamil atau menyusu

– Kanak-kanak berusia bawah 12 tahun

– Individu sensitif terhadap cahaya dan mempunyai sejarah kanser kulit atau katarak.

– 8-MOP oral diberi dua jam sebelum pesakit didedahkan kepada UVA.

– Rawatan diberikan dua hingga tiga kali seminggu.

– Kesan sampingan termasuk loya, muntah dan tindak balas fototoksid.

– Pesakit perlu memakai cermin mata yang menapis cahaya UVA selepas rawatan

– Guna krim pelindung matahari

– Sarung pakaian lindungi kulit

Laser atau lampu eksimer

– Rawatan ini terbukti merawat tompokan sopak

– Tidak menjejaskan bahagian dideritai.

– Rawatan dilakukan tiga kali seminggu