Alkohol ialah cecair yang mudah terbakar dan memabukkan dan terdapat di dalam minuman keras. Lazimnya apabila disebut alkohol, ia akan dirujuk kepada ethyl-alchol, entanol atau eton.

Malah, dari sudut agama sendiri, alkohol dan meminum minuman keras adalah diharamkan kepada semua umat Islam kerana bahaya serta kesan yang dibawanya.

Menurut Perunding Pakar Psikiatri, Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC), Profesor Madya Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari, melihat kepada kesan minuman keras dan alkohol yang memudaratkan, langkah-langkah proaktif perlu diambil bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan rakyat di negara ini mengenai risiko dan bahaya penyalahgunaan alkohol.

Jelasnya, dalam perkara seperti ini, kempen-kempen kesedaran perlu dimulakan pada peringkat sekolah agar kanak-kanak pada peringkat itu sudah boleh diberikan panduan tentang bagaimana alkohol boleh menyebabkan mudarat apabila pengambilannya dilakukan secara berlebihan.

Kempen ini juga boleh dimasukkan ke dalam program amalan gaya hidup sihat apabila terdapat majlis-majlis sukan, atau aktiviti beriadah yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu.

“Ini penting kerana lazimnya penyalahgunaan alkohol dikaitkan dengan keganasan rumah tangga, bahaya ketika memandu atau mengendali mesin, dan bahaya kepada janin wanita hamil malah mendatangkan ketagihan sekiranya selalu diminum.

“Yang terbaik, semua individu sepatutnya perlu berpantang daripada alkohol, tetapi jika diminum untuk sebab-sebab sosiobudaya, ia mesti diambil dalam jumlah yang kecil.

“Lebih penting lagi, jangan minum arak murah kerana jumlah alkohol yang sebenar tidak diketahui,” katanya.

Dalam kes keracunan yang meragut ramai nyawa itu pula, beliau menegaskan pentingnya penilaian holistik terhadap mangsa untuk menentukan sama ada mereka mempunyai apa-apa bentuk gangguan berkaitan alkohol seperti keterbergantungan dan penyalahgunaan alkohol, pola minum yang berbahaya dan peminum tegar minuman keras itu.

Dia juga menekankan, perlunya penguatkuasaan untuk memastikan minuman yang mengandungi alkohol di pasaran mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, Perunding Gastroenterologi UMSC, Profesor Dr. Ida Normiha Hilmi berkata, orang ramai perlu sedar bahawa penyalahgunaan alkohol, seperti juga dadah, turut menimbulkan risiko buruk.

Oleh itu, jelasnya, bagi yang bukan beragama Islam, jika memilih untuk meminum alkohol, mereka perlu mengambil berat tentang kuantitinya dan cuba menghindari minum minuman keras itu secara berlebihan.

“Sebenarnya, sindrom keterbergantungan kepada alkohol merupakan gangguan psikiatri, yang mana seseorang itu adalah ketagihan kepada alkohol.

“Malah, pernah dikatakan bahawa pengambilan tiga kali sehari, yang mungkin terdiri daripada setengah liter bir, satu gelas wain atau satu shot minuman spirit untuk lelaki, dan dua minuman alkohol sehari untuk wanita dianggap sebagai batas yang selamat,” kata Dr. Ida Normiha.

Bagaimanapun jelasnya, daripada hasil kajian yang dijalankan menunjukkan tidak ada perkara seperti batas selamat apabila merujuk kepada minuman keras itu, malah jumlah alkohol yang diminum dikaitkan dengan banyak penyakit.

Dr. Ida Normiha berkata, kesan buruk alkohol juga bergantung kepada banyak faktor, seperti profil genetik individu dan sekiranya ada atau tidak menggunakan ubat-ubatan terhadap penyakit yang ditanggung.

Dia turut memberitahu, pengambilan alkohol yang berlebihan boleh dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan ini termasuk gastritis akut, sirosis hati sama ada dengan atau tanpa kanser hati, dan pankreatitis akut dan kronik.

“Penggunaan alkohol yang berlebihan pada jangka masa yang lama akan mengakibatkan hati menjadi berlemak seterusnya menjadi fibrosis hati, iaitu parut yang ringan dan akhirnya sirosis hati iaitu parut parah dan pengerasan hati.

“Apabila seseorang mengalami sirosis, terdapat risiko kegagalan hati yang menyebabkan penyakit kuning, koma dan kematian.

“Pesakit dengan sirosis hati akibat alkohol juga berisiko menghidap kanser hati,” kata Dr. Ida Normiha.