News & Events

 

Lupus ancam nyawa

BARAH payu dara, dan pangkal rahim adalah penyakit yang cukup sinonim menyerang kaum wanita.

Bagaimanapun, pengetahuan para wanita mengenai bahaya penyakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE), atau lupus di negara ini pula masih terhad.

Dianggarkan 90 peratus pesakit yang menghidap SLE adalah terdiri daripada golongan wanita berusia lingkungan 15 hingga 44 tahun.

Kajian juga mendapati hanya 10 peratus sahaja pesakit SLE terdiri daripada kaum lelaki.

Presiden Persatuan SLE Malaysia , Dr. Cheah Tien Eang  berkata, penyakit SLE boleh dikategorikan sebagai salah satu penyakit kronik yang berlaku apabila antibodi tubuh bertindakbalas dengan tisu badan seseorang.

Menurutnya, tindakbalas tersebut mengakibatkan beberapa bahagian sistem tubuh seperti kulit, sendi, buah pinggang, paru-paru dan sistem saraf lain terjejas.

“Penyakit ini boleh mengancam nyawa dan jika ia tidak segera di rawat ia boleh menyebabkan kematian kepada penghidapnya.

“Di Malaysia sendiri, dianggarkan lebih daripada 10,000 rakyat di negara ini telah didiagnosis dengan SLE dalam tempoh 30 tahun lalu.

“Namun, kita percaya masih ramai penghidap SLE yang belum didiagnosis,” katanya pada majlis pelancaran  Benlysta (belimumab) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Katanya lagi, pada masa kini masih tiada penawar yang berkesan untuk merawat penyakit tersebut.

Bagaimanapun, masih terdapat pelbagai ubat-ubatan termasuk ubat anti radang, ubat anti malaria, kortikosteroid dan ubat penahan imun digunakan untuk melegakan penyakit dan mengawal SLE.

“Lazimnya, gejala SLE ialah seperti sendi bengkak, artritis, demam yang tidak diketahui puncanya, dan keletihan.

“Terdapat juga tompok-tompok merah (malar rash) di pipi dan hidung,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Besar GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn. Bhd,  Erum Shakir Rahim  berkata, pihaknya berbangga kerana dapat menawarkan Benlysta (belimumab)  kepada penghidap SLE di Malaysia.

“Kita memahami pesakit SLE mengalami perubahan fizikal dan emosi setelah menghidap penyakit tersebut.

“Ia adalah antibodi  monoklonal  pertama menghalang perangsang limfosit B larut (soluble B-lymphocyte stimulator, BLys), yang memainkan peranan penting dalam penghasilan antibodi seseorang.

“Dengan adanya  belimumab  di pasaran Malaysia menandakan kemajuan kepada cara rawatan SLE setelah hampir sedekad tiada penemuan kaedah rawatan berkesan untuk penyakit ini,” ujarnya.

Kini ia boleh didapati di dalam dos 120mg satu vial iaitu untuk satu penggunaan yang diberikan pada hari ke-0, ke-14, dan ke-28 kepada pesakit SLE.

Artikel Penuh:  http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20131024/ke_03/Lupus-ancam-nyawa#ixzz2oZ5gvefO
© Utusan Melayu (M) Bhd